Sunday, August 23, 2015

Ancaman baru perdagangan antarabangsa

ARKIB : 06/09/2001

Sehari Sebuah Buku
Judul: An Introduction to WTO Agreements
Penulis: Bhagirath Lal Das
Penerbit: Third World Network
Halaman: 138


Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), institusi perdagangan antarabangsa yang menggantikan Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) telah menempatkan dirinya sebagai tonggak ketiga dalam institusi Bretton Woods bersama-sama Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Berbagai-bagai perjanjian daripada WTO kini menjadi rangka kerja perundangan untuk peraturan berbilang hala yang bukan sahaja menyentuh isu-isu perdagangan lazim tetapi juga berhubungan dengan dimensi baru dalam perdagangan antarabangsa seperti hak milik intelektual, langkah-langkah pelaburan dan bidang perkhidmatan.
Penulis buku An Introduction to the WTO Agreements,'' Bhagirath Lal Das adalah seorang pakar dalam perdagangan antarabangsa dan bekas pengarah Program Perdagangan Antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Persidangan Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).
Beliau juga adalah bekas duta dan wakil tetap India ke persidangan GATT. Penulis terlibat secara langsung dalam rundingan Pusingan Uruguay yang membawa kepada kelahiran WTO.
Buku ini amat penting diketahui oleh pakar perdagangan antarabangsa dan ahli perniagaan untuk mengetahui latar belakang, tujuan penubuhan, perundangan dan peraturan perdagangan baru dan lama, syarat-syarat dan implikasinya kepada negara sedang membangun.
Banyak aspek yang disentuh dalam buku ini termasuklah prinsip asas dan elemen-elemen penting GATT dan perkara yang membezakan GATT dan WTO, perkara berkaitan dengan tarif, subsidi, anti lambakan, proses penyelesaian pertikaian, bidang perkhidmatan, hak milik intelektual berkaitan dengan perdagangan, langkah pelaburan berkaitan dengan perdagangan dan perkara seumpamanya.
Dengan membaca buku ini pembaca akan mendapat pengetahuan asas mengenai WTO, fungsi dan peranan dan kenapa peranannya menerima kritikan hebat daripada negara sedang membangun. - ISMAIL HASHIM

No comments:

Post a Comment